Thursday, 25 November 2010
SOLAT BUANG MASA?
"Mengapa orang Islam banyak buang masa untuk bersembahyang?” Anda terkejut? Sudah tentu. Ini adalah soalan yang jarang kita dengar. Soalan ini ditanyakan pada saya lebih kurang 15 tahun yang lalu ketika berada di Jepun. Ia diajukan oleh pelajar-pelajar Jepun yang melihat pelajar-pelajar Malaysia solat lima waktu sehari semalam.
Sebelum menjawab soalan ini, saya menyoal kembali pelajar-pelajar Malaysia yang hadir dalam majlis usrah itu:“Mengapa soalan seumpama ini ditanyakan ketika kamu di sini, tidak di Malaysia?”Seorang pelajar menjawab, “kerana mereka jarang melihat orang solat.”Yang lain menjawab, “mereka menyembah berhala mereka sekali-skala. Tidak sekerap dan selama kita umat Islam.”
Saya senyum. Pelajar-pelajar itu berminat sungguh untuk mendalami Islam. Mereka mendekati Islam lebih serius berbanding ketika mereka di Malaysia dahulu. Ketika di perantauan, ramai yang kembali gigih menghayati agama sebagai perisai diri daripada kejutan budaya dan godaan persekitaran yang terlalu mencabar.“Ada sebab lain?” tanya saya sekadar mengundang reaksi. Mereka diam. Mungkin terus berfikir.
“Orang Jepun sangat menghargai masa. Pengurusan masa mereka sangat efisien. Majoritinya tidak membuang masa…” kata saya meluahkan hasil pemerhatian secara rambang. Memang, ketika di dalam kereta api kebanyakan mereka membaca. Buku-buku dan komik banyak tersusun di bahagian atas syiling kereta api.
“Jadi bagi orang Jepun yang tidak membuang masa, 5 ke 10 minit yang kita luangkan untuk mengerjakan satu waktu solat dirasakan telah membuang masa. Sebab itu mereka bertanya, mengapa kita membuang masa. Sebab itu soalan itu timbulnya di kalangan orang Jepun. Kenapa tidak di kalangan orang kita di Malaysia? ”
“Sebab orang kita masih ramai yang membuang masa,” jawab seorang pelajar secara spontan.Saya senyum, sambil mengangguk kepala. Bagi orang yang banyak membuang masa, apalah ertinya 5 atau 10 minit untuk solat. Bagi mereka yang suka melepak, berbual kosong, berlegar-legar di pusat membeli-belah sampai berjam-jam apalah harga masa yang sebanyak itu. Tidak jadi kudis. Namun tidak bagi orang Jepun, masa beberapa minit untuk aktiviti yang tidak penting (termasuk solat – pada pandangan mereka) sangat membazir masa.
“Apa yang saudara jawab?” tanya saya menduga. Gembira melihat mereka tercabar begitu. Kekadang kecintaan dan kefahaman kita terhadap Islam hanya timbul dengan adanya cabaran dan perlecehan.
“Susah nak jawab sebab Allah perintahkan kita. Mana mereka boleh terima jawapan yang begitu.”
“Perlu dijawab begitu. Sebab Allah, Tuhan kami perintahkan begitu.”
“ Tapi kalau ditanya lagi apa sebabnya Tuhan kamu perintahkan begitu?”
“Jawablah, Allah Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk hamba-Nya daripada hamba itu sendiri,” jawab saya.
“Mungkin mereka terima jawapan dari perspektif kita. Tapi bagaimana kalau kita nak jawab yang logik dan rasional mengikut perspektif mereka?” tanya seorang penuntut tahun akhir kejuruteraan elektrik (seingat saya).Bagus soalan itu. Saya memang menantikan respons yang lebih kritikal dan berani.
“Tanyakan mereka, apa yang kamu buat untuk memastikan alat-alat teknologi kamu dalam keadaan yang baik? Bukankah kamu sentiasa menyelenggarakannya? Lebih canggih alat teknologi kamu, maka semakin kerap kamu menyelenggarakannya. Kamu sentiasa buat “maintanance” kapal terbang, kereta api elektrik (“bullet train”) dan kereta kamu…” terang saya.
Pelajar-pelajar yang berjumlah 20 orang itu tidak berganjak. Hawa musim dingin kota Ibaraki itu sekali-sekala mencuri masuk melalui regangan tingkap yang terbuka. Nyaman.“Kemudian tanyakan mereka siapa yang lebih canggih, alat-alat atau jentera teknologi yang dicipta itukah atau pun manusia yang menciptanya?”
“Tentulah manusia,” jawab mereka hampir serentak.“Nah, kalau begitu tanyakan mereka, kalau kamu sering malah sentiasa selenggarakan alat-alat teknologi yang canggih, mengapa kamu tidak selenggarakan diri kamu yang lebih canggih?
“Mereka akan tanya, bagaimana nak selenggarakan diri kami?”
“Itu kami tidak pasti. Tetapi bagi kami orang Islam, solat adalah cara kami “maintenance” diri kami. Malang sekali kalau kamu hanya menyelenggarakan alat-alat teknologi kamu tetapi kamu lupa menyelenggarakan diri kamu sendiri.”
“Kalau mereka bertanya apakah yang dimaksudkan dengan menyelenggarakan diri pada seorang manusia?”
“Seorang itu dikatakan menyelenggarakan dirinya jika ia membersihkan hati, menstabilkan emosi dan menenangkan fikirannya. Inilah yang berlaku dalam solat yang sempurna. Seorang itu mengadu, merayu, merintih dan menyerahkan kembali segala kegalauan, keresahan dan keserabutan jiwanya kepada zat yang mampu dan mahu menyelesaikan segala-galanya. Siapa lagi kalau bukan kepada Allah!”
“Orang yang solat tidak akan sakit jiwa. Stress dan tekanan emosinya terkawal,” sampuk seorang pelajar di barisan belakang.“Sebab itu orang Islam tidak bunuh diri walau bagaimana besar sekali pun masalah yang mereka hadapi,” tambah yang lain.“Tidak seperti orang Jepun, kadar membunuh diri di kalangan mereka tinggi!" � �
"Dan ketika itulah mereka mungkin boleh disedarkan betapa solat yang beberapa minit itu bukan sahaja tidak membuang masa bahkan sangat penting sekali dalam kehidupan seorang manusia,” ujar saya sebagai satu kesimpulan.
SOLAT ITU SOAL PERIBADI?
Itu kisah orang Jepun yang bukan Islam. Sekarang mari kita ikuti kisah orang Islam sendiri dengan solat.“Maaf, solat ini soal peribadi. Siapa yang nak buat sila, dah ada surau pun dalam bangunan ini. Siapa yang tak mahu, tak boleh paksa. Itu hal masing-masing.” �“Ya, solat tidak boleh dipaksa. Tetapi kita sebagai saudara seIslam, wajib mengingatkan. Dan saya ingin mengingatkan saudara, solat bukan soal peribadi,” tekan saya.
“Mengapa?”
“Solat itu mencegah seseorang dari kejahatan dan kemungkaran.”
“Itu saya tahu. Solat boleh mencegah kemungkaran. Saya pun selalu juga dengar kuliah-kuliah Subuh. Tapi ini dalam syarikat, kita tak perlu mengulang input-input dalam kuliah Subuh tu. Di sini kita bekerja, kita berniaga…” �
“Tuan, masa kita berniaga dan bekerjalah selalunya godaan dan cabaran datang. Banyak kemungkaran dalam berniaga dan bekerja,” tusuk saya perlahan.
“Kemungkaran dalam kerja? Apa tua?” �
“Ponteng, curi tulang, rasuah, melawan atasan, menindas bawahan, umpat, adu domba dan sebagainya. Kemungkaran ini bukan soal peribadi. Jika seorang melakukannya, ia memudaratkan yang lain. Lama-kelamaan ia berjangkit menjadi budaya yang negatif dalam syarikat. Ini akan menjejaskan operasi dan perjalanan syarikat secara keseluruhan.”
“Kita sudah ada undang-undang dan disiplin organisasi. Itu sebagai kawalan untuk anggota kita tidak melakukan penyelewengan.”
“Undang-undang mencegah kemungkaran dari luar tetapi solat mencegah kemungkaran dari dalam. Kita perlukan kedua-dua pendekatan. Bahkan dalam apa jua keadaan pencegahan dari dalam itu yang lebih berkesan.”
“Kenapa?” tanyanya sepatah-sepatah.�
Pengurus bahagian sumber manusia itu masih tidak yakin betapa pentingnya kursus pemantapan solat dilaksanakan dalam organisasi itu. Sejak dari tadi saya terkial-kial untuk meyakinkan orang Islam sendiri tentang kaedah Islam mencegah penyelewengan dan salah laku dalam syarikatnya.
“Sebab solat akan membina rasa takut, cinta dan patuh kepada Allah. Orang yang begini akan meninggalkan kejahatan dengan kerelaan hati sendiri. Ataupun jika mereka tersalah, mereka akan segera bertaubat.”
“Ah, apa pula pihak atasan kata nanti. Kita anjurkan kursus solat pula, sedangkan selama ini kita giat menjalan kursus-kursus yang memberi kemahiran profesional kepada anggota-anggota kita,” katanya berterus-terang.“Orang atasan tidak mahukah melihat orang-orang bawahan dan seluruh kakitangan syarikat ini jadi baik? Solat sangat penting untuk membentuk manusia jadi baik.”
Dia merenung muka saya lalu berkata,”tetapi kalau baik sahaja tetapi tak tahu bekerja, buat apa?”
“Dan kalau tahu buat kerja sahaja tetapi tidak jujur, buat apa?” balas saya.
Setelah melihat dia diam, saya menambah, “sebenarnya kita perlu kedua-keduanya sekali. Pemantapan solat pun perlu, peningkatan kemahiran profesional pun perlu. Alangkah baiknya jika kedua-duanya dilaksanakan secara bersepadu dalam syarikat ini. Kita tidak ada masalah, bukankah seluruh kakitangan syarikat ini beragama Islam?”
“Kos… kos dan peruntukan latihan akan bertambah,” balasnya.
Kali ini saya pula terdiam.“Tuan, untuk program latihan kemahiran kita rela berbelanja besar. Mengapa untuk program pemantapan nilai-nilai Islam ini kita terlalu berkira?”
“Itu soal pihak atasan…” kilasnya.
“Tuan, di atas pihak atasan ini ada yang lebih atas lagi. Allah akan bertanya kepada kita, apa yang kita laksanakan untuk mendidik orang bawahan kita. Syarikat hakikatnya sebuah institusi. Kita akan ditanya oleh Allah tentang orang di bawah pimpinan kita. Bukan soal makan-minum dan kebajikan lahiriah mereka sahaja, tetapi juga soal iman dan Islam mereka.”
“Baik tu baik. Tetapi…”
“Tuan, jika syarikat terlalu berkira dalam soal-soal tarbiah begini, saya khuatir penyelewengan, rasuah, curi tulang dan lain-lain sikap negatif yang tuan katakan mula merebak dalam syarikat ini akan bertambah kronik. Pembaziran dan penyelewengan akan memporak-perandakan operasi. Produktiviti dan kualiti akan menurun. Penjualan juga akan merosot. Pembaziran berleluasa. Rasuah pula akan menyebabkan ketirisan wang yang bukan sedikit! Ini menelan kos yang lebih berbanding kos pendidikan,” pujuk saya.
Dia termenung. Sambil menepuk-nepuk tangannya ke meja dia berkata, “insya-Allah, nantilah akan saya fikirkan dulu.”Saya menarik nafas. Begitulah cabaran dalam berdakwah. Setelah berhujah, kita perlu pasrah menyerah kepada Allah, pohon taufik dan hidayah-Nya. Apa pun benarlah seperti yang selalu diungkapkan, Islam adalah agama yang paling banyak disalah tafsirkan, bukan sahaja oleh orang bukan Islam…. tetapi oleh orang Islam sendiri.
Di Jepun, di Malaysia atau di mana sahaja, Islam sering disalah tafsirkan. Namun jangan pesimis atau kecewa. Itu bermakna peluang dan ruang untuk dakwah sentiasa terbuka!!
Thursday, 21 October 2010
panduan memilih isteri..:)
"Yang paling kukuh keimanan ialah berkawan kerana Allah, bermusuhan kerana Allah, cinta kerana Allah dan membenci kerana Allah." - Hadis Riwayat Tabarani dari Ibnu Abbas r.a
Mengapakah teruna memilih gadis jelita? Kata orang, gadis seperti ini menyejukkan serta menggembirakan hati. Betulkah begitu?
Gadis itu pada asasnya bererti wanita yang belum bernikah.
Walaupun begitu, perkataan 'gadis' juga digunakan bagi menggambarkan kesucian seseorang wanita.
Wanita yang sudah ternoda sebelum berkahwin digelar 'sudah tiada gadis' atau 'sudah tiada dara'.
Umumnya, pengertian pertama iaitu wanita yang belum bernikah digunakan secara formal sedangkan yang kedua itu adalah gelaran yang diberikan secara berbisik-bisik.
Alam gadis merupakan alam yang paling manis bagi seseorang wanita.
Semasa inilah seseorang wanita itu akan mencapai tahap mekarnya dan keayuannya. Pada masa inilah wanita itu mula dipanggil 'bergetah' jika kita hendak meminjam bidalan Soekarno.
Bila dipandang, banyak hati lelaki akan tergoda.
Ada gadis yang 'boleh tahan' dan ada gadis yang 'tak boleh tahan'. Gadis yang 'boleh tahan' biasanya dianggap manis tapi tidaklah jelita.
Yang 'tak boleh tahan' pula adalah gadis yang sungguh cantik menawan. Ramai lelaki yang tergoda kepada gadis 'tak boleh tahan' ini apatah lagi jika gadis itu sendiri pandai pula menggoda dan mempermainkan perasaan lelaki.
Tidak dapat dinafikan bahawa lelaki teruna sememangnya tertarik pada rupa dan bentuk fizikal gadis.
Itulah yang menjadi asas mengapa mereka lebih memberi perhatian.
Ada orang berpendapat bahawa gadis yang cantik lebih beruntung kerana lelaki melayaninya dengan lebih baik, mesra dan lemah-lembut.
"Janganlah sekali-kali seorang lelaki berduaan saja dengan seorang wanita, melainkan dengan didampingi seorang muhrim." (Hadis riwayat Bukhari dari Ibnu Abbas r.a.)
Biasanya teruna akan terpikat dan terpesona dengan kecantikan si gadis dahulu, kemudian barulah si teruna menyelidiki perangai si gadis.
Ini menyebabkan ramai lelaki terperangkap, menyesal atau menderita, terutamanya bila sudah terlanjur dan tidak boleh berundur lagi sedangkan baru tahu bahawa si gadis itu teruk perangainya atau sudah ternoda.
Walaupun 'mata yang belum berisi pengalaman' itu tertarik pada rupa yang cantik, sebenarnya jodoh bagi hati adalah hati juga, bukannya rupa.
Maksudnya pada akhirnya gadis yang hatinya paling suci sesuci hatinyalah yang dipilih oleh teruna untuk dikahwini.
Berikut adalah petua-petua sekiranya anda ingin memilih gadis jelita menjadi isteri anda:
Elakkan Dari Berkawan Dengannya
Dengan merapati dan berkawan dengan si gadis, kecantikan hati ini sebenarnya sukar untuk dinilai oleh lelaki. Selalunya yang dilihat semuanya 'baik, sopan dan elok' apatah lagi pada masa itu sang teruna sedang mahu, dia hanya nampak yang elok. Si gadis pula mungkin hanya berpura-pura jadi baik dan sopan untuk memikat teruna. Itulah sebabnya ada yang membidalkan bahawa:
'Yang bercahaya tidak semestinya emas' dan 'yang cantik tidaklah semestinya permata'. Maka elakkan dari berkawan dengannya untuk mengelakkan anda dari terpesona dan terpedaya.
Lakukan Risikan Secara Rahsia
Kecantikan hati biasanya boleh dinilai oleh pengamatan rahsia si teruna bersama keluarga teruna terhadap si gadis.
Risikan rahsia ini adalah untuk mengetahui bagaimanakah tingkahlaku si gadis itu bila dia berada bersama keluarganya sendiri.
Adakah si gadis dari jenis yang suka berjalan, bergaul bebas, atau suka menolong ibunya memasak, rajin berkemas dan taat dalam beribadat akan dapat ditentukan dengan lebih jelas.
Pihak teruna juga boleh mengetahui perihal moral si gadis dengan menyelidiki ke manakah si gadis itu suka pergi di hujung minggu atau di masa lapangnya.
Jika dia gemar pergi ke tempat yang kurang baik, besar kemungkinan dia mempunyai sifat-sifat yang kurang baik pula.
Walaupun pada asasnya cara menyelidik begitu, atau dipanggil 'merisik' ini tidak begitu disukai oleh si gadis sendiri, ia adalah jalan yang dianggap lebih baik dari cara berkawan dengan si gadis, membawanya ke mana suka, dan 'menyelidik' dengan bertanya pada gadis itu atau hasil memperhatikan tingkah lakunya di depan mata.
Cari Yang Pandai Mengurus Rumahtangga
Pada zaman sekarang, masa remaja si gadis bererti masa sebagai pelajar sekolah menengah, pra-universiti dan pusat pengajian tinggi.
Bagi gadis-gadis ini, masa untuk mereka belajar menjadi 'wanita' dari ibu adalah amat terhad, jika ada, praktikannya hanya dalam jangkamasa pendek. Kesempatan untuk berada di dapur amatlah terhad pada hujung minggu serta semasa cuti.
Akibatnya, semakin ramai gadis yang berorientasikan kerja makan gaji dan tidak berorientasikan mengurus rumahtangga.
Cari Yang Hormat Kepada Orang Tua
Selidiklah apakah dia gadis yang tahu menghormati orang tua.
Ini penting kerana dia nanti akan bersua, bertandang ataupun duduk bersama ibu bapa anda.
Walau betapa cantik pun dia, jika dia tidak menghormati ibu dan bapa mertuanya, dia akan menyebabkan anda menjadi serba-salah dalam menangani kehidupan anda.
Cari Yang Pandai Menjaga Kehormatan
Hal ini juga dapat diperhatikan di kalangan gadis-gadis yang tidak begitu berjaya dalam pelajaran. Lebih ramai yang suka bekerja makan gaji dari membantu ibu di rumah atas alasan meringankan beban keluarga.
Bagi gadis yang mudah 'lupa' masa inilah mereka akan jadi rosak.
Mereka akan keluar dengan lelaki tanpa segan silu, mula memakai pakaian yang ketat dan menjolok mata serta belajar berbagai cara dari rakan sebaya untuk memikat lelaki.
lbubapa yang tidak mengawasi gerak-geri anak gadisnya mungkin akan menyebabkan gadis itu menjadi gadis murahan.
Cari Yang Tidak Bebas Dengan Lelaki
Pada zaman dahulu, ada ibu bapa yang sengaja tidak menghantar anak perempuannya ke sekolah.
Takut nanti jadi perempuan jahat akibat dapat bergaul dengan lelaki secara bebas.
Bila zaman semakin moden, pemikiran cara ini dianggap sudah usang.
Ramai pula menganggap adalah lebih baik bagi wanita bersekolah asalkan saja di sekolah dia dilengkapi dengan input tatasusila dan adat apatah lagi agama.
Cari Yang Didikan Agamanya Cukup
Beredarnya zaman perlu mengambil kira faktor sekeliling si gadis. Jelas pada kita bahawa cara hidup gadis sekarang sudah jauh berbeza berbanding gadis satu atau dua dekad silam.
Namun, dari sudut nalurinya adalah sama saja. Zaman gadis adalah zaman mencari identiti dan cuba mengekalkan identiti itu.
Jika terdedah dia kepada yang buruk maka buruklah jadinya.
Walaupun begitu, gadis yang mendapat didikan yang baik besar kemungkinan akan menjadi wanita yang berguna kepada negara dan agama malah boleh menjadi contoh teladan sama ada kepada wanita mahupun lelaki.
Cari Yang Berpegang Teguh Pada Suruhan Agama
Ada empat sebab utama mengapa teruna memilih seseorang gadis, kerana kecantikannya, kerana hartanya, kerana keserasian taraf dan kerana agama.
Yang akan membahagiakan ialah memilih gadis yang beragama.
Dimanakah letaknya nilai gadis yang cantik? Letaknya ialah pada keimanan gadis itu.
Jika dia cantik dan dia pula beriman, berharta dan setaraf pula, maka dialah yang masuk ke dalam kategori gadis yang 'tak boleh tahan'.
Tapi sedarlah, dia akan memilih lelaki yang baik-baik pula!
Friday, 11 June 2010
Berwudhu' Atas Kasut
Pada kesempatanbulan ini, saya ingin berkongsi dengan para pembaca sekalian satu lagi subjekfiqh yang jarang-jarang kita dengar dan praktikkan, iaitu berwudhu’ di ataskasut. Atau lebih tepat, ketika berwudhu’ kita tidak perlu membuka kasut,sebaliknya cukup dengan mengusapkan air ke atas kasut. Ini merupakan salah satusunnah Rasulullah SAW sebagaimana yang diterangkan oleh Hudzaifah RA: “BahawasanyaRasulullah SAW berwudhu’ lalu baginda menyapu di atas kedua-dua kasutnya.”[Shahih Sunan Ibn Majah, no: 442]
Ini adalah salahsatu dari sekian banyak kemudahan yang Allah berikan kepada umat Islam dalamrangka kita beramal ibadah kepada-Nya. Berdasarkan kemudahan ini, para muslimattidak perlu membuka kasut dan stokin ketika berwudhu’ di tandas awam. Ia jugamemudahkan berwudhu’ di tempat sempit umpama tandas bas, keretapi dankapalterbang. Jika berada di tempat musim sejuk, seorang yang ingin berwudhu’juga tidak perlu mendedahkan kakinya kepada cuaca salji dan ais beku.
Syarat-Syarat Berwudhu’ Di Atas Kasut.
Bagi mengamalkan kemudahan ini, terdapat beberapa syarat mudah yang perlu diperhatikan.
Pertama, hendaklah berwudhu’ seperti biasa sebelum memakai kasut. Ertinya, berwudhu’lah seperti biasa termasuklah membasuh kaki sehingga ke mata kaki dengan air. Kemudian ketika dalam keadaan masih berwudhu’, pakailah kasut.
Mughirah ibnu Syu'bah berkata: Pada satu malam saya pernah bersama Rasulullah. Saya menuangkan air dari bekas lalu baginda pun berwudhu'……kemudian saya menawarkan diri untuk membuka kasutnya lalu baginda berkata: “Janganlah dibuka, biarkan sahaja. Saya memakainya dalam keadaan kaki saya suci (dalam keadaan berwudhu’).” Sesudah itu baginda menyapu bahagian atas kasutnya itu. [Shahih al-Bukhari, no: 5799]
Kedua, apa-apa yang digunakan sebagai pelindung kaki, maka ia menepati syarat untuk mengamalkan kemudahan ini asalkan ia menutup kaki dari hujung jari hingga ke mata kaki. Justeru boleh memakai kasut, but, sandal untuk mengamalkan kemudahan ini. Jika memakai selipar, hendaklah memakai stokin agar kaki tertutup. Rasulullah SAW pernah berwudhu’ lalu baginda menyapu di atas stokin dan seliparnya [Shahih Sunan al-Tirmizi, no:99]
Ketiga, tidak mengapa jika sandal memiliki lubang atau stokin terkoyak sedikit. Pada zaman Rasulullah SAW, tidaklah kasut mereka sentiasa baru lagi sempurna melainkan terkoyak dan berlubang di sana sini hasil kegunaan di kawasan gurun dan batu-batan. Namun Rasulullah SAW tidak menegah mereka dari mengamalkan kemudahan berwudhu’ di atas kasut. Imam Ibn Taimiyyah menerangkan:
“Kebanyakkan para ahli fiqh membenarkan penyapuan di atas kasut (sekalipun ianya koyak atau berlubang). Kemudahan menyapu di atas kasut adalah bersifat umum dan perkataan khuff (kasut yang diperbuat dari kulit lembut) merangkumi jika kasut itu berlubang sebagaimana juga jika kasut itu tidak berlubang, ia tetap digelar kasut juga.
Selain itu para sahabat pada ketika itu kebanyakannya dalam keadaan miskin dan kerap pula bermusafir. Justeru pasti di kalangan mereka ada yang kasutnya yang sudah terkoyak atau berlubang dan lubang-lubang ini adalah mustahil untuk diperbaiki ketika bermusafir. Oleh itu seandainya menyapu di atas kasut yang berlubang tidak dibenarkan maka tiada sebab kebolehan kemudahan ini diberikan pada asalnya. Kebolehan menyapu di atas kasut yang berlubang adalah tetap dibenarkan selagi ia berada dalam keadaan yang dinamai sebagai kasut dan ianya masih digunakan sebagai alat untuk berjalan.” [Masa’il al-Mardeniyah, ms. 78]
Keempat, kemudahan ini memiliki tempoh masa. Rasulullah SAW bersabda: “(Kemudahan) menyapu di atas kasut ialah selama tiga hari bagi orang yang bermusafir dan sehari semalam bagi orang yang bermukim.” [Shahih Sunan Abu Daud, no: 157] Setelah tempoh tersebut, hendaklah berwudhu’ dengan membasuh kaki seperti biasa. Berdasarkan hadis ini juga, dapat difahami bahawa kemudahan berwudhu’ atas kasut tidak terhad kepada suasana musafir sahaja, tetapi boleh di lokasi seseorang bermukim umpama rumah, pejabat, universiti.
Kelima, jika dalam tempoh masa itu seseorang itu masuk ke dalam keadaan hadas besar seperti junub atau haidh, kemudahan ini terbatal. Maka setelah suci dari hadas besar, hendaklah berwudhu seperti biasa, yakni membasuh kaki dengan air. Setelah itu bolehlah mengamalkan kemudahan ini.
Keenam, bahagian kasut yang disapu ialah di bahagian atasnya. Sapuan cukup dengan tangan atau tisu yang lembab. Tidak perlu membasuh kasut dengan air. Ali bin Abi Talib menerangkan: “Sekiranya agama itu menurut fikiran logik sudah tentu tapak kasut lebih patut di sapu daripada bahagian atasnya. (Akan tetapi) saya melihat Rasulullah menyapu bahagian atas kasutnya.” [Shahih Sunan Abu Daud, no: 162]
Ketujuh, tidak disyaratkan sebarang kesukaran atau darurat bagi mengamalkan kemudahan ini. Ia boleh diamalkan pada bila-bila masa sekalipun ketika ada kemudahan untuk membasuh kaki seperti biasa. Bahkan mengamalkan bererti menghargai kemudahan yang Allah berikan kepada para hamba-Nya, beramal dengan sunnah Rasulullah SAW yang mulia dan memperkenalkan kepada orang yang tidak tahu akan kemudahan ini.
Cara-Cara Berwudhu’ Atas Kasut.
1. Ambil wudhu’ seperti biasa.
2. Ketika dalam keadaan masih berwudhu’, pakai kasut, sandal atau selipar bersama stokin.
3. Apabila wudhu’ telah batal dan anda ingin perbaharui wudhu’, berwudhulah seperti biasa. Perbezaan hanya pada kaki, iaitu anda hanya perlu menyapu di bahagian atas kasut dengan jari-jari atau tisu yang lembab.
4. Cara ketiga di atas boleh diulangi selama sehari semalam bagi orang yang bermukim, tiga hari bagi orang yang bermusafir.
5. Jika telah tamat tempoh, ulangi dari langkah pertama di atas.
sumber: hafizfirdaus.com
Saturday, 29 May 2010
Memo Buat Si Belangkas..
Memo Buat Si Belangkas
sumber~ www.iluvislam.com
Menyorot dahsyatnya mitos cinta meracuni pemikiran generasi muda hari ini, pelbagai maksiat menular di sana sini. Gadis hilang harga diri. Pemuda meratah dara sesuka hati. Anak pungut merata-riti. Ah, sekotor inikah cinta anak muda? Tidak! Cinta itu tidak kotor bahkan suci sekudus embun pagi. Tangan manusialah yang mengotorinya.
Aduhai pemuda-pemudi yang sedang hangat bercinta!
Bukankah Allah menyediakan jalan halal buat menyuburkan cinta yang sedang mekar antaramu dengan si dia? Kenapa tidak nikah sahaja? Boleh khalwat lama-lama.
"Ingat nikah tu senang?!" Mungkin ini persoalannya. Mungkin ini yang membelenggu pemikiran anak muda yang sedang bercinta. Sama ada jawapannya senang atau susah, setiap pasangan yang sudah jatuh hati perlu ada niat untuk memilih jalan halal lagi diberkati ini. Niat yang bersih berperanan mengawal diri agar terhindar dari lembah zina terkutuk dan segala perkara yang menghampirinya. Apa yang dinamakan cinta lelaki dan perempuab asing hanya boleh dinikmati selepas berumah tangga. Ingat tu!
Kunasihatkan diriku jua dirimu hai muda-mudi, dalam urusan jodoh, apa pun keputusan buatlah sebagaimana yang dianjurkan oleh syarak dengan jalan istikharah dan musyawarah (berbincang). Andai di sana nampak keserasian, usah terlalu fikirkan masalah, berfikirlah dengan optimis.
Ambil langkah yang diizinkan Allah seterusnya iaitu dengan berkhitbah (bertunang) dan saling setia pada janji syarak yang menghampiri zina lagi tidak diredhaiNya.
Khusus buat pemuda-pemudi yang sedang dilamun cinta,
Penulis ingin berbicara dengan muda-mudi yang sedang lemas dalam lautan cinta. Teristimewa buat mereka yang tidak meletakkan nikah sebagai prioriti sekarang, demi untuk meneruskan belajar atau mengejar cita-cita.
Seringkali bila ditanya pada syabab (pemuda) tentang kenapa tak segera berzaujah (menikah), mereka amat risaukan masih tak mempunyai pekerjaan tetap.
Sedangkan ada hadis yang mana Nabi berpesan agar menyegerakan nikah bagi yang sudah bertemu calonnya. Pemuda selalu bimbang jika tak mampu memberi nafkah kepada bakal bidadari dan seluruh isi rumahnya nanti. Faktor ekonomi amatlah membebankan benak mereka. Betulkan ya syabab?
Kerisauan ini lumrah... ia lahir dari kesedaran bahawa perkahwinan itu bukan suka-suka tapi penuh tanggungjawab. Sesetengah orang membuat perhitungan hidup secara matematik, contohnya jika seorang memerlukan biaya RM1000 maka dua orang memerlukan RM2000. Hidup sendiri pun sukar dibiaya apatah lagi membiayai hidup orang lain.
Faktor ini membuatkan sang pemuda takut berkahwin. Gambaran seperti ini semakin memberat apabila hidup dikuasai berhala bernama materialisme. Apatah lagi masyarakat terlalu meletakkan ukuran materialisme dalam menjalani hidup.
Al-Quran mengecam keyakinan materialisme seperti ini dan menyuruh kita berfikiran optimis. Lihatlah Allah memberi berita gembira berupa kecukupan kehidupan bagi pasangan yang berkahwin :
"Dan nikahkanlah orang yang sendirian antara kamu, dan orang-orang yang layak nikah di antara hamba-hamba sahayamu yang perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memampukan mereka dengan kurnia_Nya, dan Allah maha luas pemberian_Nya lagi maha mengetahui."
(An-Nur : 32)
Nah, itu jaminan Allah. Jaminan siapa yang lebih patut dipercayai?
Umar al-Khattab, sahabat agung, pernah berkata sebagaimana dikutip dari al-Qurtubhi: " Saya sangat takjub dan hairan dengan orang-orang yang tidak mahu menikah kerana takut miskin, dan tidak mahu mencari kekayaan melalui perkahwinan, padahal Allah telah menjaminnya."
Nabi Muhammad s.a.w juga memberi gambaran yang praktikal. Dalam sebuah riwayat dari Abu Hurairah r.a : "Makanan dua orang dapat mencukupi tiga orang, dan makanan tiga orang dapat mencukupi empat orang." (riwayat Bukhari dan Muslim)
Tidak hairanlah Ibnu Mas'ud pernah berkata, "Carilah kekayaan dan rezeki melalui pernikahan," kemudian beliau membaca firman Allah dalam surah An-Nur, ayat 32. Apalagi, sama-sama hapuskan berhala materialisme dalam hati dan fikiran.
Buat kaum Hawa,
Yakin dan percayalah pada insan yang telah ditunjukkan Allah dalam istikharahmu walauapapun keadaannya pada masa ini, asalkan baik agamanya. Sama ada dia masih belajar atau masih bertukar-tukar kerja, percayalah padanya.
Buat syabab,
Rezeki Allah amat luas, jangan dirisaukan sangat. Walaupun sesuatu pekerjaan itu tidak terpandang di sisi masyarakat contohnya bekerja sendiri namun terakam mulia dalam hadis Rasulullah s.a.w. Beliau bersabda : "Pekerjaan yang terbaik adalah usaha seseorang dengan tangannya sendiri dan semua penjual beli yang baik." (Riwayat Ahmad, Baihaqi dan lain-lain)
Jika kerisauan untuk menikah disebabkan faktor orang tua, berbincanglah dengan mereka penuh hikmah. Hati mereka milik Allah, dipegang Allah dan boleh dilunakkan oleh Allah dalam sekelip mata. Ianya menuntut doa, kesungguhan dan keberanian. Orang tua akan cair jua dengan kebaikan kerana merekalah insan yang paling inginkan kebaikan untuk seorang anak. Percayalah!
Jika terubat segala kerisauan dan tertanam kukuh sebuah keyakinan maka laksanakanlah khitbah (pertunangan).
Selama tempoh khitbah, berkongsilah apa yang dirasakan mustahak dan tidak terlalu kerap berhubung untuk menjaga kesucian ikatan. Tempoh itu sesungguhnya amat menguji. Pastikan ikatan itu terjaga dari kelalaian dan segala perbuatan yang menghampiri zina.
Laksanakanlah ikatan dengan mana paling memudahkan lelaki. Aisyah r.a menjelaskan, "Sesungguhnya di antara keberkatan wanita ialah memudahkan peminangan dan kemudahan maharnya". (Riwayat Ahmad)
Oh, kaum Hawa!
Tidakkah kamu mahu menjadi wanita yang berkat? Oh, mudah kahwin itu rupanya jika ikut agama!
Apa tunggu lagi wahai yang dah berpunya? Pilihlah untuk berkahwin. Takutlah pada Allah melebihi takutmu pada segala persoalan di benakmu. Yakinlah pada Allah. Berdoalah pada_Nya agar dipermudahkan nikah buatmu.
"Wahai para pemuda, siapa yang mampu, berkahwinlah! Sesungguhnya ia menundukkan pandangan dan menjaga kemaluan. Siapa yang tidak mampu berpuasalah." (Riwayat Bukhari)
Wednesday, 5 May 2010
lapar Rasulullah SAW..kita bagimana?
Muslim dan Tirmidzi telah meriwayatkan dari An-Nu'man bin Basyir ra. dia berkata: "Bukankah kamu sekarang mewah dari makan dan minum, apa sahaja yang kamu mahu kamu mendapatkannya? Aku pernah melihat Nabi kamu, Muhammad saw hanya mendapat kurma yang buruk sahaja untuk mengisi perutnya!"
Dalam riwayat Muslim pula dari An-Nu'man bin Basyir ra. katanya bahawa: "Pada suatu ketika Umar ra. menyebut apa yang dinikmati manusia sekarang dari dunia! Maka dia berkata, aku pernah melihat Rasulullah saw seharian menanggung lapar, kerana tidak ada makanan, kemudian tidak ada yang didapatinya pula selain dari kurma yang buruk saja untuk mengisi perutnya."
Suatu riwayat yang diberitakan oleh Abu Nu'aim, Khatib, Ibnu Asakir dan Ibnun-Najjar dari Abu Hurairah ra. dia berkata: "Aku pernah datang kepada Rasulullah saw ketika dia sedang bersembahyang duduk, maka aku pun bertanya kepadanya: 'Ya Rasulullah saw! Mengapa aku melihatmu bersembahyang duduk, apakah engkau sakit?' Jawab baginda: 'Aku lapar, wahai Abu Hurairah!' Mendengar jawapan baginda itu, aku terus menangis sedih melihatkan keadaan beliau itu. Beliau merasa kasihan melihat aku menangis, lalu berkata: 'Wahai Abu Hurairah! Jangan menangis, kerana beratnya penghisaban nanti di hari kiamat tidak akan menimpa orang yang hidupnya lapar di dunia jika dia menjaga dirinya di kehidupan dunia.' (Kanzul Ummal 4:41)
Bukhari dan Muslim meriwayatkan pula dari Urwah dari Aisyah r.ha. dia berkata: "'Demi Allah, hai anak saudaraku (Urwah anak Asma, saudara perempuan Aisyah), kami senantiasa memandang kepada anak bulan, bulan demi bulan, padahal di rumah-rumah Rasulullah Saw tidak pernah berasap.' Berkata Urwah ra: 'Wahai makcikku, jadi apalah makanan kamu?' Jawab Aisyah r.ha: 'Kurma dan air sahaja, melainkan jika ada tetangga-tetangga Rasulullah Saw dari kaum Ansar yang membawakan buat kami makanan. Dan memanglah kadang-kadang mereka membawakan kami susu, maka kami minum susu itu sebagai makanan'." (At-Targhib Wat-Tarhib 5:155)
Tarmidzi memberitakan dari Masruq, katanya: "Aku pernah datang menziarahi Aisyah r.ha. lalu dia minta dibawakan untukku makanan, kemudian dia mengeluh: 'Aku mengenangkan masa lamaku dahulu. Aku tidak pernah kenyang dan bila aku ingin menangis, aku menangis sepuas-puasnya!' Tanya Masruq: 'Mengapa begitu, wahai Ummul Mukminin?!' Aisyah r.ha menjawab: 'Aku teringat keadaan di mana Rasulullah saw telah meninggalkan dunia ini! Demi Allah, tidak pernah baginda kenyang dari roti, atau daging dua kali sehari'." (At-Targhib Wat-Tarhib 5:148)
Ibnu Majah dan Baihaqi meriwayatkan pula dari Abu Hurairah ra. katanya: "Sekali peristiwa ada orang yang membawa makanan panas kepada Rasulullah saw maka beliau pun memakannya. Selesai makan, beliau mengucapkan: 'Alhamdulillah! Inilah makanan panas yang pertama memasuki perutku sejak beberapa hari yang lalu'." (At-Targhib Wat-Tarhib 5:149)
Tirmidzi memberitakan daripada Abu Talhah ra. katanya: "Sekali peristiwa kami datang mengadukan kelaparan kepada Rasulullah Saw lalu kami mengangkat kain kami, di mana padanya terikat batu demi batu pada perut kami. Maka Rasulullah saw pun mengangkat kainnya, lalu kami lihat pada perut baginda terikat dua batu demi dua batu." (At-Targhib Wat-Tarhib 5:156)
Bukhari dan Ibnu Abid Dunia meriwayatkan dari Aisyah r.ha. dia berkata: "Bala yang pertama-tama sekali berlaku kepada ummat ini sesudah kepergian Nabi saw ialah kekenyangan perut! Sebab apabila sesuatu kaum kenyang perutnya, gemuk badannya, lalu akan lemahlah hatinya dan akan merajalelalah syahwatnya!" (At-Targhib Wat-Tarhib 3:420).
Muhasabah untuk sama-sama kita renungkan.
Tuesday, 2 March 2010
Tariq bin Ziyad: Penakluk Andalusia...
Kedatangan Islam ke Andalusia (Sepanyol) bukan sahaja membawa cahaya tauhid malah membebaskan rakyat negara itu dari penindasan serta kezaliman. Ketika itu Sepanyol diperintah oleh Raja Roderic yang berbangsa Gothic. Dia dan orang-orangnya hidup penuh kemewahan sedangkan rakyat dibiarkan dalam kesengsaraan. Para petani dipaksa membayar cukai yang tinggi.
Kaum wanita terutama anak-anak gadis yang cantik berasa tidak selamat kerana sering diperkosa oleh Raja Roderic ataupun konco-konconya. Mereka yang cuba melawan dibunuh malah ada yang dibakar hidup-hidup. Akibat penindasan yang tidak berperikemanusiaan itu, rakyat hidup dalam ketakutan. Ramai antara mereka terpaksa melarikan diri ke Afrika, sebuah negara yang aman makmur di bawah pemerintahan kerajan Islam.
Panglima Julian iaitu Gabenor Ceuta, menaruh perasaan marah dan dendam kepada Raja Roderic kerana memperkosa Florida, puterinya yang cantik jelita. Bagi membalas dendam kepada raja yang zalim itu, dia berangkat ke Afrika lalu menghadap Musa bin Nusair, wakil khalifah Islam di Afrika. Julian meminta bantuan tentera Islam bagi menumbangkan pemerintahan Raja Roderic.
Bagai pucuk dicita ulam mendatang, Musa bin Nusair segera mempersiapkan sebuah angkatan perang seramai 12 belas ribu orang bagi menawan Andalusia (Sepanyol) serta membebaskan rakyat negara itu daripada penindasan. Dia melantik Tariq bin Ziyad bagi memimpin angkatan perang itu.
Dengan menaiki 12 buah kapal perang, tentera islam menuju ke benua Eropah itu. Selepas mendarat di Andalusia, Tariq bin Ziyad segera memerintahkan kapal-kapal perang yang mereka naiki dibakar. Pada mulanya, tindakan itu mendapat bantahan daripada sebahagian besar tentera Islam. Mereka menganggap perbuatan itu kurang siuman dan bertentangan dengan hukum Islam yang melarang merosakkan harta benda awam. Apatah lagi, kapal perang kepunyaan mereka sendiri. Mereka juga mempersoalkan bagaimana hendak pulang ke tempat asal apabila kapal yang mereka naiki sudah dibakar.
Untuk memecahkan kebuntuan tenteranya, Tariq bin Ziyad segera mengumpulkan tenteranya di sebuah bukit yang kini dikenali nama Gibraltar (Jabal Tariq) lalu Tariq bin Ziyad berucap dengan ucapannya yang terkenal sehingga ke hari ini,
"Wahai saudara-saudaraku, di belakang kita laut, dihadapan kita musuh. Kita tidak dapat melarikan diri. Demi Allah, kita datang ke sini bagi syahid ataupun mencapai kemenangan. Dan kita tidak akan pulang sebelum mencapai matlamat itu!"
Jabal Tariq pada hari ini
Kata-kata keramat Tariq bin Ziyad itu berjaya meniupkan kambali semangat jihad di kalangan tentera Islam. Dengan semangat yang berkobar-kobar mereka mara menentang tentera Raja Roderic yang berjumlah 100 ribu orang.
Tariq bin Ziyad asalnya seorang hamba atau budak suruhan milik Musa bin Nusair. Dia akhirnya dilantik oleh Musa bin Nusair menjadi pembantunya kerana mempunyai sifat-sifat yang terpuji. Seterusnya diberi kepercayaan memimpin 12 ribu tentera Islam ke Andalusia. Pada mulanya tujuan penghantaran tentera adalah bagi meninjau keadaan tempat dankekuatan musuh sebagai persediaan menunggu ketibaan tentera yang akan dipimpin oleh Musa bin Nusair. Tetapi Tariq bin Ziyad berfikiran sebaliknya. Dia menganggap mereka Andalusia demi mati syahid ataupun mengalahkan musuh. Oleh itu, dia sanggup membakar kapal perang yang mereka naiki supaya tentera Islam di bawah pimpinannya tidak bercita-cita untuk pulang ke tanah air.
Pada 19 Julai 711 masihi, terjadilah pertempuran antara tentera islam yang dipmpin oleh Tariq bin Ziyad dengan tentera Gothic yang dipimpin oleh Raja Roderic. Peristiwa itu berlaku berhampiran dengan sungai Barbat kerana di situlah tentera Gothic berkumpul bagi menghalang kemaraan tentera Islam. Walaupun pasukan tentera Islam jauh lebih kecil berbanding musuh ditambah pula dengan kelengkapan senjata yang serba kekurangan namun dengan semangat jihad yang membakar dalam diri, mereka berjaya memberi pukulan hebat kepada musuh. Akhirnya, tentera Gothic tewas dan Raja Roderic mati lemas di sungai Barbat ketika cuba melarikan diri.
Kekalahan itu amat memalukan tentera Gothic lalu mereka mengumpul semula kekuatan bagi mengusir tentera Islam daripada tanah air mereka. Tetapi tentera Islam bertambah kuat dengan kedatangan tentera tambahan dari Afrika yang dipimpin sendiri oleh Musa bin Nusair.
Kemudian terjadilah satu lagi pertempuran paling sengit di Ecija. Dalam pertempuran itu, tentera yang dipimpin oleh Tariq bin Ziyad bergabung dengan tentera yang dipimpin oleh Musa bin Nusair. Dan sekali lagi tentera Islam mencapai kemenangan. Tariq bin Ziyad belum berpuas hati dengan kemenangan itu. Dengan persetujuan Musa bin Nusair, tentera Islam dibahagikan kepada empat pasukan sebelum dihantar ke Cordoba, Malaga dan Granada. Tariq bin Ziyad sendiri memimipin pasukan utama menuju ke Toledo, ibu kota Andalusia. Keempat-empat kota itu dapat ditakluki dengan mudah oleh tentera Islam tanpa mendapat tentangan sengit.
Al-Hambra yang bermaksud "Yang berwarna merah" merupakan kubu dan istana kerajaan Islam di Granada.
Antara faktor kejayaan gemilang tentera Islam di Andalusia kerana rakyat negara itu sememangnya sudah benci dengan pemerintahan Raja Roderic yang zalim. Oleh itu, kedatangan tentera Islam dianggap sebagai penyelamat malah ada yang sanggup bergabung dengan tentera Islam bagi memerangi tentera Gothic.
Rakyat Andalusia yang sekian lama hidup menderita di bawah kekuasaan tentera Gothic tertarik dengan dengan kebaikan perilaku tentera Islam. Seorang ahli sejarah Philip K.Hitti berkata,
"Penaklukan Sepanyol merupakan perjuangan pertama dan terakhir yang paling sensasi bagi bangsa Arab. Mereka berjaya menakluki wilayah Eropah yang paling luas ke dalam kekuasaan Islam."
Penaklukan Andalusia oleh orang-orang Islam mendorong timbulnya revolusi sosial di mana kebebasan beragama benar-benar diakui. Rakyat Andalusia yang sudah lama menderita akibat penindasa digantikan dengan kebaikan pemerintahan Islam.
Rakyat tidak lagi merasa tertindas dan harta mereka terpelihara. Paderi-paderi Kristian yang pada mulanya menyembunyikan diri kerana khuatir dengan tindak balas orang-orang Islam kembali semula ke kampung halaman bagi memulakan kehidupan baru di bawah kekuasaan Islam yang adil.
Tariq bin Ziyad bercadang hendak menakluk seluruh Eropah. Tetapi manusia cuma merancang, Allah yang menentukan. Ketika persiapan sedang giat dilakukan, tiba-tiba Tariq bin Ziyad diperintahkan oleh khalifah kembali ke Damsyik. Sebagai panglima tentera yang berdisiplin, dia mematuhi arahan itu. Niat mahu menakluki Eropah terpaksa dibatalkan. Tariq bin Ziyad maninggal dunia di Damsyik. Namanya tercatat dalam sejarah sebagai panglima yang menggerunkan pasukan tentera Sepanyol di bawah pimpinan Raja Roderic. Hingga kini, Gibraltar atau asalnya Jabal Tariq yang bermakna Bukit Tariq masih abadi di Andalusia, Sepanyol.
Atas usahanya, kerajaan Islam al-Andalus bertapak di Sepanyol selama 781 tahun. Di Sepanyol beliau telah menjadi legenda sehingga digelar "Tariq El-Tuerto" yang bermaksud "Tariq bermata satu". Semoga Allah merahmatinya. Amin.
Tuesday, 1 December 2009
berdakwah dengan hati..
"Maka disebabkan rahmat Allah atasmu, kamu berlaku lemah lembut kepada mereka. Sekiranya kamu bersikap keras lagi berhati kasar tentulah mereka menjauhkan diri dari sekelilingmu. Karena itu maafkan mereka dan mohonkanlah ampun bagi mereka…”(QS.:3:159)
Saudaraku, Sejarah telah memaparkan pancaran pesona akhlaq Rasulullah dalam perjuangan dakwah beliau sebagai suri teladan bagi kita (QS.:33:21). Kemudian Allah SWT menguatkan dengan firman-Nya “wa innaka la’alaa khuluqin ‘azhiim. Dan sesungguhnya engkau memiliki akhlak yang mulia.”(QS.:68:4). Tentunya ini merupakan pelajaran yang sangat berharga bagi kita. Rumusan nyata dan gamblang tentang model manusia terbaik. Maka siapa yang ingin berhasil dalam mengemban tugas dakwah sebagaimana Rasul, hendaklah mengikuti jejak langkah Rasulullah dan menerapkan akhlaq Rasulullah dalam segenap aktivitas kehidupannya.
Dulu sering kita jumpai keluhan-keluhan dan kekecewaan terhadap penanganan dakwah di kalangan para mutarobbi –binaan atau murid ngaji atau anggota tarbiyah-. Fenomena berjatuhannya para aktivis dakwah, ditambah lagi dengan ketidaksukaan mereka terhadap pola dakwah ternyata – menurut mereka – disebabkan karena seringnya mereka menerima perlakuan yang tidak bijaksana.
Jawaban sederhana dari permasalahan di atas boleh jadi karena ketidak utuhan kita dalam meneladani Rasul atau bahkan mungkin karena kita belum mampu menanamkan akhlaq Rasul pada diri mereka. Akibatnya kita sering tidak sabar dan tidak bijaksana menyikapi mereka, sementara merekapun terlalu mudah tersinggung dan cengeng menyikapi teguran dan nasihat yang mereka anggap sebagai pengekang kebebasan. Komunikasi yang tidak sehat ini sebenarnya bisa diatasi dengan menyadari sepenuh hati akan begitu pentingnya penanaman dan penerapan akhlaq Rasulullah dalam berbagai pendekatan dakwah. Ditinjau dari segi juru dakwah, keinginan meluruskan, teguran, penugasan, sindiran dan sebagainya sebenarnya dapat dikemas dengan akhlaq. Begitupun dari segi mad’u –peserta dakwah atau yang didakwahi- ; ketidakpuasan, ketersinggungan, perasaan terkekang dan kejenuhan juga dapat diredam dengan akhlaq. Akhlaq menuntun kepada kemampuan untuk saling menjaga perasaan, saling memaklumi kesalahan dan mengantarkan kepada penyelesaian terbaik.
Banyak murabbi –pembina atau yang mentarbiyah- yang dikecewakan dan ditinggalkan binaaanya, tapi dia mampu mengemas luka itu dengan empati dan terus mendoakan kebaikan bagi binaannya. Bahkan diiringi harapan suatu saat Allah swt. mengembalikan binaannya dalam aktvitas dakwah, walaupun mungkin bukan dalam penanganannya. “Mungkin dengan saya tidak cocok, tapi semoga dengan murabbi lain cocok”. Ada mutarabbi yang diperlakukan tidak bijaksana oleh murabbinya namun akhlaq menuntunnya untuk mengerti dan menyadari bahwa murabbinya bukan nabi, sehingga dia tidak dendam dan menjelek-jelekkan murabbinya, melainkan tetap merasa bahwa murabbi dengan segala kekurangannya telah berjasa banyak padanya. Dia tidak membenci dakwah meskipun dia dikecewakan oleh seorang aktivis dakwah.
Di antara nilai-nilai akhlaq yang semuanya mesti kita tanamkan dalam diri kita masing-masing adalah dua nilai yang cukup relevan dengan kelancaran dakwah, yaitu kelembutan dan rendah hati.
Kelembutan adalah perpaduan hati, ucapan dan perbuatan dalam upaya menyayangi, menjaga perasaan, melunakkan dan memperbaiki orang lain. Kelembutan adalah kebersihan hati dan keindahan penyajian yang diwujudkan dalam komunikasi lisan maupun badan. Bukanlah kelembutan bila ucapannya lembut tapi isinya penuh dengan kata-kata kasar menyakitkan (nyelekit). Bukan pula kelembutan bila menyampaikan kebenaran tapi dengan caci maki dan bentakan.
Berwajah manis penuh senyum, memilih pemakaian kata yang benar dan pas (qaulan sadidan), memaafkan, memaklumi, penuh perhatian, penuh kasih sayang adalah tampilan kelembutan. Wajah sinis, penuh sindiran yang terkadang tanpa tabayyun, buruk sangka, ghibah, mendendam, emosional merupakan kebalikan dari sifat kelembutan.
Rendah hati merupakan perpaduan hati, ucapan dan perbuatan dalam upaya mendekatkan atau mengakrabkan, melunakkan keangkuhan, menumbuhkan kepercayaan, membawa keharmonisan dan mengikis kekakuan. Angkuh, sok pintar dan hebat, merasa paling berjasa, merasa levelnya lebih tinggi, minta dihormati, enggan menegur atau menyapa lebih dulu, tidak mau diperintah, sulit ditemui atau dimintai tolong dengan alasan birokratis, menganggap remeh, cuek dan antipati merupakan lawan dari rendah hati. Allah swt. berfirman dalam surah Asy Syu’araa ayat 215 “Dan rendahkanlah dirimu terhadap orang-orang beriman yang mengikuti kamu.”
Bila Rasulullah saw. saja dengan berbagai pesona dan kelebihannya diperintah untuk tawadhu (dan Rasul telah menjalankan perintah itu), tentulah kita yang apa adanya ini harus lebih rendah hati. Rendah hati terhadap murabbi, rendah hati terhadap mutarabbi dan rendah hati terhadap seluruh orang-orang beriman menunjukkan penghormatan kita pada Rasul dan pada kebenaran Al-Qur’an. Sebaliknya, keangkuhan dan perasaan lebih dari orang lain menandakan masih jauhnya kita dari Al-Qur’an dan Hadist.
Saudaraku, Marilah kita lebih mengaplikasikan apa-apa yang sudah kita ketahui. Betapa pemahaman kita tentang pentingnya akhlak dalam mengantarkan pada kesuksesan dakwah mungkin sudah cukup mumpuni. Namun tinggal bagaimana kita terus meningkatkan penerapan nilai-nilai akhlaq itu dalam kehidupan kita sehari-hari, khususnya dalam mengemban tugas dakwah. Telah dan akan terus terbukti bahwa sambutan masyarakat terhadap dakwah adalah di antaranya karena pesona akhlaq kita, kelembutan kita, memaklumi, mengingatkan dan meluruskan mereka dan kerendahhatian kita untuk terus bersabar mendekati dan menemani hari-hari mereka dengan dakwah kita. Dalam konteks khusus pun demikian, betapa kelembutan dan kerendahhatian ternyata lebih melanggengkan atau mengawetkan binaan-binaan kita untuk terus berdakwah bersama kita.
Saudaraku, Hendaknya dari hari ke hari kita terus mengevaluasi diri, membenahi akhlaq kita dan memantaskan diri (sepantas-pantasnya) sebagai seorang juru dakwah. Memang kita manusia biasa yang penuh salah dan kekurangan, namun janganlah itu menjadi penghalang kita untuk bermujahadah diri menuju kepada kedewasaan sejati. Masa lalu yang kasar dan angkuh hendaklah segera pupus dari diri kita. Kita mulai membiasakan diri untuk lembut di tengah keluarga, di antara aktivis dakwah hingga ke masyarakat luas. Kita mesti melatih kerendahhatian di tengah murid-murid kita, dengan sesama aktivis, pada murabbi kita hingga ke seluruh masyarakat. Dan pada akhirnya nanti insya Allah kita dapatkan keberhasilan dakwah Rasulullah terulang kembali, lewat hati, ucapan dan perbuatan kita yang telah diwarnai nilai-nilai akhlaq.
ادْعُ إِلَى سَبِيلِ رَبِّكَ بِالْحِكْمَةِ وَالْمَوْعِظَةِ الْحَسَنَةِ وَجَادِلْهُمْ بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ إِنَّ رَبَّكَ هُوَ أَعْلَمُ بِمَنْ ضَلَّ عَنْ سَبِيلِهِ وَهُوَ أَعْلَمُ بِالْمُهْتَدِينَ
“Serulah mereka ke jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pelajaran yang baik, dan bantahlah dengan cara yang baik pula. Sesungguhnya Tuhanmu Dialah yang lebih mengetahui tentang siapa yang tersesat dari jalanNya dan Dialah yang mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk.” (QS 16:125). Allahu a’lam..
from: dakwatuna.com.
Subscribe to:
Posts (Atom)